Kajang dan kawasan sekitarnya merupakan sebuah mukim yang terletak di dalam Daerah Hulu Langat di Negeri Selangor. Ia terletak lebih kurang 14 batu di sebelah tenggara Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur, Kajang dihubungi melalui jalan raya dan jalan keretapi. Kajang juga dapat dihubungkan dengan Putrajaya, Pusat Pentadbiran Negara dan Cyberjaya Bandar Multimedia Negara. Di sebelah baratnya pula terletak Bandar Puchong, Batu 3 dan Klang. Pada dasarnya Kajang terdiri dari beberapa penempatan Melayu, Cina dan India.
Kawasan perkampungan rata-rata didiami oleh orang-orang melayu. Orang-orang cina tinggal secara berselerak di sekitar Bandar Kajang. Manakala kawasan-kawasan ladang getah didiami oleh orang-orang berketurunan India. Jika dilihat dari sudut topografinya pula, Mukim Kajang adalah terletak di kawasan tanah tinggi iaitu lebih kurang 76,250 sm dari paras laut. Kebanyakan permukaan buminya adalah berbukit bukau dan dipenuhi oleh gunung. Tanah datarnya terdapat di kawasan-kawasan lembangan sungai seperti Sungai Langat, Sungai Bangi, Sungai Semenyih dan Sungai Chua. Kawasan-kawasan inilah yang merupakan tempat-tempat awal yang mula diterokai untuk penempatan di Mukim Kajang.
Masyarakat Melayu Tradisional gemar meneroka tempat kediaman di lembah-lembah sungai iaitu di lembangan-lembangan. Terutamanya di lembah-lembah Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai Lukut. Sebenarnya pengertian Selangor bermakna Tanah Lembangan Lima Bintang Sungai-sungai tersebut. Pada waktu itu sungai menjadi jalan perhubungan untuk keluar masuk bagi satu-satu kawasan penempatan. Lembah-lembah sungai ini sangat subur untuk bercucuk tanam dan ia sesuai dengan petani-petani yang bergantung hidup kepada tanah. Mereka juga menjalankan aktiviti menangkap ikan.
Kewujudan pekan Kajang juga bertitik tolak daripada faktor-faktor ini. Terdapat beberapa cerita lisan berkenaan dengan penerokaan awal pekan Kajang dan kawasan sekitarnya. Menurut orang-orang tua, Kajang dan kawasan sekitarnya sebelum didatangi peneroka-peneroka dari luar adalah merupakan kawasan kediaman orang-orang asli dari Suku Temuan. Menurut seorang pengkaji sejarah tempatan En. Shahabudin Ahmad, Kajang telah diterokai pada tahun 1709 oleh orang-orang asli yang berpusat di Klang. Pada waktu itu Klang diperintah oleh orang-orang asli yang ketuanya dipanggil Batin Seri Alam. Ketua ini mentadbir di Klang kerana ketika itu hutan ini adalah pusat pentadbiran bagi orang-orang asli. Klang mempunyai jajahannya yang tersendiri yang ditadbirkan oleh 3 orang anak kepad Batin Seri Alam.